Wednesday, August 12, 2009

Ayat aktif dan Ayat Pasif

Ayat aktif dan ayat pasif merupakan dua ayat yang sama maksud tetapi berlainan sedikit bentuknya.

Ayat Aktif

1. Ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai unsur yang diterangkan.

2. Dalam ayat aktif, kata kerjanya mempunyai awalan meN- dan disudahi tanpa atau dengan -kan atau -i.

3. Ayat aktif terdiri daripada:
a. Ayat aktif transitif. Contoh ayat: Dia membeli buah durian.
b. Ayat aktif tak transitif. Ayat ini dibahagikan pula kepada dua jenis iaitu:
 

(i) Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang boleh digugurkan. 
Contoh ayat:
Pokok itu membesar.
*Pokok itu membesar dengan cepatnya.
 

(ii) Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang tidak boleh digugurkan.
Penyakitnya beransur sembuh.
*Penyakitnya beransur.

Ayat Pasif

1. Ayat yang mengandugi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai unsur yang diterangkan.

2. Bentuk kata kerjanya bertukar menjadi di- dan disudahi tanpa atau dengan -kan atau -i
 

3. Ayat pasif terdiri daripada:

a. ayat pasif diri pertama, iaitu ayat yang kata kerjanya tidak berawalan meN- dan didahului kata ganti diri pertama seperti aku, kami, kita, saya, baginda dan sebagainya.

b. ayat pasif diri kedua, iaitu ayat yang kata kerjanya tidak berawalan meN- dan didahului kata ganti diri kedua seperti awak, anda, kamu, engkau, dan sebagainya.

c. ayat pasif diri ketiga, iaitu ayat yang kata kerjanya berawalan di-, diikuti kata sendi oleh serta kata ganti diri ketiga seperti ia, dia, beliau, mereka, dan sebagainya.

Berikut ialah contoh-contoh ayat bagi Ayat Aktif dan Ayat Pasif:
 

Ayat Aktif/Ayat Pasif
1. Ali membaca buku itu. /Buku itu dibaca oleh Ali.
2. Ibu memasak nasi lemak. /Nasilemak dimasak oleh ibu.
3. Kita mesti mendengar nasihat guru kita. /Nasihat guru kita, mesti kita dengar.
4. Salmah memukul adiknya dengan kuat. /Adiknya dipukul dengan kuat oleh Salmah.
5. Yusof membawa kerusi patah./ Kerusi patah dibawa oleh Yusof

Ayat Aktif /Ayat Pasif Diri Pertama
 

(a) Saya mencuci kasut sekolah.
(ai) Kasut sekolah saya cuci.

(b) Kita menerima keputusan itu.
(bi) Keputusan itu kita terima.

(c) Aku akan memetik bunga itu.
(ci) Bunga itu akan aku petik.

(d) Kami sudah menyusun jadual itu.
(di) Jadual itu sudah kami susun.

Ayat Aktif / Ayat Pasif Diri Kedua


(a) Anda harus menyiapkan kerja itu.
(b) Awak mesti menyerahkan surat itu.
(c) Engkau patut memulangkan duitnya.
(d) Kamu perlu membaiki kereta itu.

(ai) Kerja itu harus anda siapkan.
(bi) Surat itu mesti awak serahkan.
(ci) Duitnya patut engkau pulangkan.
(di) Kereta itu perlu kamu baiki.

Ayat Aktif / Ayat Pasif Diri Ketiga

 
(a) Mereka mengecat bangunan.
(b) Baginda meminta rakyat supaya bersabar.
(c) Beliau mengarahkan orang ramai supaya beratur.
(d) Dia sedang menjahit baju.

(ai) Bangunan dicat oleh mereka.
(bi) Rakyat diminta oleh baginda supaya bersabar.
(ci) Orang ramai diarahkan oleh beliau supaya beratur.
(di) Baju sedang dijahit olehnya.

Awalan TeR-

Ayat aktif yang menerima awalan teR- hendaklah dikekalkan apabila dipasifkan dan kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan, dan ini termasuk juga ayat pasif diri pertama dan ayat pasif diri kedua. Contoh ayat:

Ayat aktif /Ayat Pasif

a) Adakah kamu terbaca buku yang tebal itu?
b) Ibu terhidang lauk yang basi kepada tetamu.

a(i) Adakah buku yang tebal itu terbaca oleh kamu?
b(i) Lauk yang basi terhidang oleh ibu kepada tetamu.

No comments:

Post a Comment