Tuesday, March 31, 2009

Kesalahan Tatabahasa (Bahagian 2)

Kesalahan dari Segi Kata

Kata Ganti Diri

1. Kata beliau, dia, ia, kami, kita, dan mereka sering digunakan dengan salah.
2. Kata beliau tidaak harus digunakan untuk orang yang tidak dihormati atau kanak-kanak dan binatang. Contoh:
  • Firdaus dihukum. Beliau ponteng sekolah. ( salah )
    Firdaus dihukum. Dia ponteng sekolah. ( betul )
  • Anjing itu garang. Beliau terpaksa dikurung. ( salah )
    Anjing itu garang. Anjing itu terpaksa dikurung. ( betul )
  •  
     
3. Kata dia dan ia tidak boleh digunakan untuk binatang dan benda.
  • Baju ini mahal. Ia diimport dari Itali. ( salah )
  • Baju ini mahal. Baju ini diimport dari Itali. ( betul )
  • Beruang ini sakit. Ia perlu dirawat. ( salah )
  • Beruang ini sakit. Beruang ini perlu dirawat. ( betul )
 
4. Kata kami bererti “ saya dengan dia”. Orang yang diajak bercakap tidak disertakan. Kita bererti “anda dengan saya” atau “anda dengan kami”. Orang yang diajak bercakap disertakan.
  • Kami mesti memenangi perlawanan ini,” kata Anas kepada Nazrul. ( salah )
  • Kita mesti memenangi perlawanan ini,” kata Anas kepada Nazrul. ( betul )
  • Kita akan ke rumah awak,” kata Ayu dan Tina kepada Suzie. ( salah )
  • Kami akan ke rumah awak,” kata Ayu dan Tina kepada Suzie. ( betul )
 
5. Kata mereka tidak boleh digunakan untuk benda dan binatang.
  • Ayam-ayam itu dikurung. Mereka akan disembelih. ( salah )
  • Ayam-ayam itu dikurung. Ayam-ayam itu akan disembelih. ( betul )
  • Buku-buku ini tebal. Mereka Syimir baca. ( salah )
  • Buku-buku ini tebal. Buku-buku ini Syimir baca. ( betul )
 
6. Kata mereka tidak boleh diulang.
  • Mereka-mereka yang ditawan berada dalam keadaan selamat. ( salah )
  • Mereka yang ditawan berada dalam keadaan selamat. ( betul )
 
7. Kata ganti ia dan nya tidak boleh digabungkan.
  • Kalau tidak dirawat mungkin ianya akan lumpuh. ( salah )
  • Kalau tidak dirawat mungkin ia/ dia akan lumpuh. ( betul )
  • Kucing itu mati kerana ianya dilanggar kereta. ( salah )
  • Kucing itu mati kerana dilanggar kereta. ( betul )

Kata Bilangan

1. Terdapat 6 jenis kata bilangan:
  • Kata bilangan tentu seperti satu, seratus, sejuta dan sebagainya.
  • Kata bilangan tak tentu seperti beberapa, para, semua, setengah-setengah, dan sebagainya.
  • Kata bilangan pecahan seperti setengah, suku, dan sebagainya.
  • Kata bilangan pisahan seperti masing-masing, dan setiap.
  • Kata bilangan himpunan seperti berbagai-bagai, kedua-dua, dan sebagainya.
  • Kata bilangan tingkat seperti pertama, kedua, keenam dan sebagainya.
 


2. Kata bilangan seperti setengah-setengah, tiap-tiap, berbagai-bagai dan kedua-dua tidak boleh disingkatkan.

salah.
a. setengah orang
b. tiap murid
c. berbagai warna
d. kedua mempelai

betul
 
a. setengah-setengah orang
b. tiap-tiap murid
c. berbagai-bagai warna
d. kedua-dua mempelai

3. Kata para tidak boleh diulang.
  • Para-para penduduk perlu bekerjasama. ( salah )
  • Para penduduk perlu bekerjasama. ( betul ) 
 

4. Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga dan seterusnya tidak boleh didekatkan dengan kata bilangan pecahan seperti suku dan setengah untuk penghitungan.
  • dua setengah meter ( salah )
  • dua suku jam ( salah )
  • tiga setengah ringgit ( salah )
  • dua meter setengah ( betul )
  • dua jam suku ( betul )
  • tiga ringgit setengah ( betul )

Kata Hubung

1. Ada 3 jenis kata hubung iaitu:
  • Kata hubung gabungan seperti atau, dan, lalu, maka, serta, dan tetapi.
  • Kata hubung pancangan seperti agar, bahawa, apabila, hingga, jika, dsb.
  • Kata hubung berpasangan seperti baik…ataupun, baik…mahupun. Bukan saja….tetapi juga dan sebaginya.
 
2. Kata hubung sering digunakan salah sebagai akibat tidak memahami cara menggunakan kata-kata hubung tersebut. Contoh:
Nazrul bangun tetapi memberikan jawapan.
Budak itu cantik kecuali sombong.
Budin akan tidur di rumah Seha dan di hotel.
Agar segalanya berjalan lancar, usaha kita akan berjaya.
Sedangkan merokok membahayakan kesihatan, tambahan pula banyak orang yang tidak peduli.

3. Kata hubung apabila selalu ditulis sebagai bila sedangkan kata bila itu merupakan kata tanya.
Contoh:
· Midah termenung bila menerima berita itu. ( salah )
· Din terkejut bila Seha menjerit. ( salah )
· Pandai-pandailah menjaga diri bila berada di negeri orang. ( salah )
· Minumlah ubat ini bila terasa sakit. ( salah )
· Bila mendengar berita itu, Ayu terus pengsan. ( salah )

Kesalahan Dari Segi Frasa
Frasa Nama (Bentuk Jamak dan Hukum DM)

1. Bentuk jamak dapat dinyatakan melalui:
· pengulanagn kata nama seperti: guru-guru, murid-murid, dan sebagainya.
· Penggunaan kata bilangan seperti dua biji guli, semua murid, dan sebagainya.
· Pengulangan kata adjektif seperti baik-baik, rajin-rajin dan sebagainya.
· Penggunaan kata yang mendukung makna jamak seperti rakyat.

2. Jika kata bilangan yang membawa makna jamak digunakan, kata nama yang menyertai kata bilangan itu tidak perlu diulang. Contoh:
· dua biji telur
· semua murid
· para pendidik
· pelbagai acara
· segala haiwan
· sekalian penduduk
· seluruh kawasan

3. Oleh sebab kata adjektif yang diulang sudah membawa makna jamak, maka kata nama tidak perlu diulang. Contoh:
· Lukisan itu cantik-cantik belaka.
· Pakaian di situ mahal-mahal harganya.
· Ayam di situ gemuk-gemuk.
· Pemuda di sini gagah-gagah belaka.
· Gadis di sini cantik-cantik.
· Kuih itu sedap-sedap rasanya.
· Pahlawan Melaka handal-handal nampaknya.
· Murid sekolah ini rajin-rajin belaka.

No comments:

Post a Comment