Wednesday, August 12, 2009

Perambahan Brunei

1. Amai Tangan
Ertinya: Suka menjangkau-jangkau (memegang/menyentuh) sesuatu tanpa tujuan.
Contoh ayat: Akibat amai tangan, emak Amir terpaksa membayar ganti rugi kerana anaknya telah memecahkan pasu di kedai itu.


2. Anak akun-akunan
Ertinya: Anak yang diangkat pada nama sahaja kerana mengambil sukut (tuah) tetapi masih dalam tangunggan ibu bapanya yang sebenar.
Contoh ayat: Faizal ialah anak akun-akunan Haji Basir kerana sama tarikh lahir dengan neneknya.


3. Bagai langau mengerumuni bangkai
Ertinya:

i. Suasana bising kerana ramai orang berkumpul.
ii. Suka berkumpul di tempat maksiat

Contoh ayat: Ramai orang menyaksikan persembahan Dygta di The Mall pada bulan lepas, bagai langau mengerumuni bangkai.

4. Bakulut-kulut
Ertinya: Sentiasa berada di satu tempat
Contoh ayat: Budak itu bakulut-kulut dengan ibunya sahaja.

5. Basah karing / inda karing cawat
Ertinya: Berkerja dengan tidak mengenal penat dan tidak menghiraukan sebarang kesukaran yang dihadapi.
Contoh ayat: Haji Sudin berbasah karing memburis perahu untuk menyiapkan semua tampahan pelanggannya.


6. Cakap inda badinding-dinding
Ertinya: Orang yang bercakap lancang mengenai seseorang atau sesuatu
Contoh ayat: Oleh sebab dia suka bercakap inda badinding-dinding, ramai orang tidak menyukainya.


7. Kalang (h)ati
Ertinya: Kurang selera makan atau minum kerana terkenang akan seseorang yang dikasihi.
Contoh ayat: Kalang (h)atinya terkenangkan anaknya belajar di luar negera / baharu meninggal dunia.


8. Kapir malaun
Ertinya: Orang yang jahil tentang agama
Contoh ayat: Pakaian wanita itu, umpama kapir malaun. 


9. Macam menunggu sungai inda beulu
Ertinya: Menunggu sesuatu yang tidak kunjung tiba
Contoh ayat: Dari pagi Ahmad menunggu kawannya di kedai itu, macam sungai inda baulu.


10. Panas tangan
Ertinya:

i. Tidak dapat berjimat cermat walaupun mempunyai pendapatan yang lumayan.
ii. Suka mencuri

Contoh ayat:
i. Disebebkan hidupnya susah, dia seorang yang panas tangan untuk menyara hidup.
ii. Walaupun Harun bekerja sebagai pegawai, hidupnya susah kerana terlalu panas tangan.

Ayat Biasa dan Ayat Songsang

Susunan Ayat
 

Dalam Bahasa Melayu terdapat dua jenis susunan ayat, iaitu:
1. Susunan biasa
2. Susunan songsang

- Ayat yang mempunyai susunan biasa dipanggil Ayat Biasa.
- Dalam ayat biasa, susunan subjeknya mendahului predikat.

Susunan Songsang

- Ayat yang mempunyai susunan songsang pula dipanggil Ayat Songsang.
- Dalam ayat songsang, susunan predikatnya mendahului subjek
 

AYAT BIASA ; AYAT SONGSANG
SUBJEK/PREDIKAT ; PREDIKAT / SUBJEK
Kakak Farah/seorang guru ; Seorang guru / kakak Farah
Rumah mereka/berhampiran sekolah ; Berhampiran sekolah /rumah mereka
Kawan-kawan saya/Sangat peramah ; Sangat peramah/kawan-kawan saya

Dalam ayat songsang, kata partikel seperti -lah, -tah, -kah, -nya dan sebagainya boleh digunakan untuk memberi penekanan kepada predikat.
 

AYAT BIASA ; AYAT SONGSANG
SUBJEK/PREDIKAT ; PREDIKAT/SUBJEK
Bapa saya/dia ; dialah /bapa saya
Buah-buahan itu/dari mana? ; Dari manakah/buah-buahan itu?
Rumah itu / besar. ; Besarnya atau besarlah/rumah itu.


Ayat songsang boleh dibentuk dengan dua cara, iaitu:
1. Dengan membawa seluruh predikat ke hadapan, mendahului subjek

AYAT BIASA / AYAT SONGSANG

Solekan mak andam itu sungguh cantik/
Sungguh cantik solekan mak andam itu.


Persatuan Belia kampung ini ditubuhkan oleh Haji Abu/
Ditubuhkan oleh Haji Abu Persatuan Belia kampung ini.


Kawan-kawan kamu sudah pulang?/
Sudah pulang kawan-kawan kamu?

2. Dengan membawa sebahagian daripada predikat ke hadapan, mendahului subjek:
(i) Pendepanan Frasa Kerja
Berkejar-kejaran kanak-kanak itu di padang.
Terpaut hatiku oleh keimanannya.
Membuka perniagaan baru Haji Hassan tahun ini.

(ii) Pendepanan Frasa Adjektif
Lesu badannya sepanjang masa.
Masih teguh lagi binaan surau itu.
Lumpuh pesakit itu dengan tiba-tiba.

(iii)Pendepanan Frasa Sendi Nama
Untuk ibu doa ini.
Di Kuala Lumpur dia sekarang.
Kepada pekerjanya arahan itu.

Ayat aktif dan Ayat Pasif

Ayat aktif dan ayat pasif merupakan dua ayat yang sama maksud tetapi berlainan sedikit bentuknya.

Ayat Aktif

1. Ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai unsur yang diterangkan.

2. Dalam ayat aktif, kata kerjanya mempunyai awalan meN- dan disudahi tanpa atau dengan -kan atau -i.

3. Ayat aktif terdiri daripada:
a. Ayat aktif transitif. Contoh ayat: Dia membeli buah durian.
b. Ayat aktif tak transitif. Ayat ini dibahagikan pula kepada dua jenis iaitu:
 

(i) Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang boleh digugurkan. 
Contoh ayat:
Pokok itu membesar.
*Pokok itu membesar dengan cepatnya.
 

(ii) Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang tidak boleh digugurkan.
Penyakitnya beransur sembuh.
*Penyakitnya beransur.

Ayat Pasif

1. Ayat yang mengandugi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai unsur yang diterangkan.

2. Bentuk kata kerjanya bertukar menjadi di- dan disudahi tanpa atau dengan -kan atau -i
 

3. Ayat pasif terdiri daripada:

a. ayat pasif diri pertama, iaitu ayat yang kata kerjanya tidak berawalan meN- dan didahului kata ganti diri pertama seperti aku, kami, kita, saya, baginda dan sebagainya.

b. ayat pasif diri kedua, iaitu ayat yang kata kerjanya tidak berawalan meN- dan didahului kata ganti diri kedua seperti awak, anda, kamu, engkau, dan sebagainya.

c. ayat pasif diri ketiga, iaitu ayat yang kata kerjanya berawalan di-, diikuti kata sendi oleh serta kata ganti diri ketiga seperti ia, dia, beliau, mereka, dan sebagainya.

Berikut ialah contoh-contoh ayat bagi Ayat Aktif dan Ayat Pasif:
 

Ayat Aktif/Ayat Pasif
1. Ali membaca buku itu. /Buku itu dibaca oleh Ali.
2. Ibu memasak nasi lemak. /Nasilemak dimasak oleh ibu.
3. Kita mesti mendengar nasihat guru kita. /Nasihat guru kita, mesti kita dengar.
4. Salmah memukul adiknya dengan kuat. /Adiknya dipukul dengan kuat oleh Salmah.
5. Yusof membawa kerusi patah./ Kerusi patah dibawa oleh Yusof

Ayat Aktif /Ayat Pasif Diri Pertama
 

(a) Saya mencuci kasut sekolah.
(ai) Kasut sekolah saya cuci.

(b) Kita menerima keputusan itu.
(bi) Keputusan itu kita terima.

(c) Aku akan memetik bunga itu.
(ci) Bunga itu akan aku petik.

(d) Kami sudah menyusun jadual itu.
(di) Jadual itu sudah kami susun.

Ayat Aktif / Ayat Pasif Diri Kedua


(a) Anda harus menyiapkan kerja itu.
(b) Awak mesti menyerahkan surat itu.
(c) Engkau patut memulangkan duitnya.
(d) Kamu perlu membaiki kereta itu.

(ai) Kerja itu harus anda siapkan.
(bi) Surat itu mesti awak serahkan.
(ci) Duitnya patut engkau pulangkan.
(di) Kereta itu perlu kamu baiki.

Ayat Aktif / Ayat Pasif Diri Ketiga

 
(a) Mereka mengecat bangunan.
(b) Baginda meminta rakyat supaya bersabar.
(c) Beliau mengarahkan orang ramai supaya beratur.
(d) Dia sedang menjahit baju.

(ai) Bangunan dicat oleh mereka.
(bi) Rakyat diminta oleh baginda supaya bersabar.
(ci) Orang ramai diarahkan oleh beliau supaya beratur.
(di) Baju sedang dijahit olehnya.

Awalan TeR-

Ayat aktif yang menerima awalan teR- hendaklah dikekalkan apabila dipasifkan dan kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan, dan ini termasuk juga ayat pasif diri pertama dan ayat pasif diri kedua. Contoh ayat:

Ayat aktif /Ayat Pasif

a) Adakah kamu terbaca buku yang tebal itu?
b) Ibu terhidang lauk yang basi kepada tetamu.

a(i) Adakah buku yang tebal itu terbaca oleh kamu?
b(i) Lauk yang basi terhidang oleh ibu kepada tetamu.