Tuesday, June 04, 2013

Pepatah : Tahun 11 (Menengah 5)

1. Ada air adalah ikan
Rezeki itu ada dimana-mana, asalkan diusahakan
Contoh ayat: Encik Kassim mencari rezeki dengan menjual air batu campur berhampiran dengan kilang itu. Kata orang, ada air adalah ikan.

2. Ada kerak, ada nasi
Setiap kejadian ada bekasnya.
Contoh ayat: Kenangan pahit yang menimpa Bu Hjh Suri umpama ada kerak ada nasi baginya.

3. Berpatah arang, berkerat rotan
Memutuskan sama sekali perhubungan saudara atau sahabat
Contoh ayat: Walau marah atau benci bagaimanapun dengan sesiapa sahaja, jangan sampai berpatah arang, berkerat rotan.

4. Di padang orang berlari-lari, di padang sendiri berjengket-jengket.
Suka memakan hak orang, hak sendiri disimpan.
Contoh ayat: Haji Asli dikatakan oleh orang kampung ‘di padang orang berlari-lari, di padang sendiri berjengket-jengket kerana semakin hari semakin mewah.

5. Gajah berak besar, kancil pun hendak berak besar.
Orang yang berpendapatan kecil yang cuba berlagak dan berbelanja seperti orang yang berpendapatan besar, akhirnya dia juga akan susah.
Contoh ayat: “Itulah sudah ku katakan tadi, kalau gajah berak besar, kancil pun hendak berak besar, sekarang siapa yang susah.” kata Ayub kepada Salleh.

6. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati ditengah-tengah
Dua kuasa besar bertelingkah, negara lemah yang mendapat akibatnya
Contoh ayat: Akibat tamakkan kuasa, negara lain yang terjejas, gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati ditengah-tengah.

7. Gunung yang tinggi akan runtuh, jika setiap hari digali
Harta benda yang banyak sekalipun akan habis, jika dibelanjakan setiap hari, tanpa ditambah lagi.
Contoh ayat: Arwah ayah selalu berpesan supaya selalu berjimat cermat untuk kemudian hari, kerana gunung yang tunggi akan runtuh, jika setiap hari digali.

8. Hendak menegak benang yang basah
Hendak membenarkan sesuatu hal atau perbuatan yang salah
Contoh ayat: Rosli asyik hendak menegakkan benang yang basah setiap kali dia melakukan kesilapan.

9. Ikut resmi padi, makin berisi semakin menuduk.
Semakin tinggi ilmu, semakin merendah diri.
Contoh ayat: “Para pelajar diingatkan supaya mengikut resmi padi, makin berisi semakin menunduk apabila sudah berjaya nanti,” kata pengetua ketika berucap dalam Upacara Penyampaian Hadiah-hadiah bagi Pelajar Cemerlang O Level.

10. Kalau baik buat teladan, kalau tak baik buat sempadan
Tiru yang baik, jauhi yang jahat
Contoh ayat: Ayah selalu menasihati kami supaya menjadi orang yang sentiasa mempelajari sesuatu baru. Tapi kalau yang baik buat teladan, kalau tak baik buat sempadan tambah ayah.

11. Memancung tinggi-tinggi, menebang rendah-rendah.
Meminta denda yang paling berat, tetapi diberi yang paling ringan.
Contoh ayat: Hassan mengakui kesalahannya dan beranggapan hukuman yang akan dikenakan kepadanya sudah tentu berat sebaliknya dia hanya memancung tinggi-tinggi, menebang rendah-rendah.

12. Muka berpandangan, budi kedapatan
Seseorang yang mengetahui perbuatan jahat orang lain tetapi tidak dibalas / Orang yang tidak menghiraukan perbuatan jahatnya malah sikapnya seperti dahulu.
Contoh Ayat: Rakan-rakan Ismail tidak begitu menghiraukan kisah tentang perbuatannya yang menyakitkan hati itu kerana muka berpandangan, budi kedapatan.

13. Mulut disuap pisang, buntut dikait onak
Pujuk rayu yang mengandungi niat yang jahat
Contoh ayat: Mael memang terkenal dengan mulut disuap pisang, buntut dikait onak kerana mulut manisnya suka memperdayakan wanita-wanita di kampungnya.

14. Orang yang menunggu perigi itu, masakan mati dahaga.
Bersahabat dengan orang yang berilmu takkan susah.
Contoh ayat: Ibu selalu berpesan supaya bijak dalam memilih kawan yang berilmu pengetahuan, kerana orang yang menunggu perigi itu, masakan mati dahaga.