Saturday, April 20, 2013

Perumpamaan: Tahun 11 (Menengah 5)

1. Bagai cembul dapat tutupnya
Sesuatu yang sesuai benar.
Contoh ayat: Kedua mempelai yang berada di atas pelamin itu, sama cantik sama padan, bagai cembul dapat tutupnya.

2. Bagai dihiris dengan sembilu
Hati yang terlalu sakit, pedih dan sedih.
Contoh ayat: Hati Suraya bagai dihiris dengan sembilu apabila mengetahui bahawa kekasihnya bersama orang lain.

3. Bagai kelip-kelip terbang malam
Rahsia yang tidak dapat disembunyikan.
Contoh ayat : Perpisahan antara Kamisah dan Halim bagai kelip-kelip terbang malam kerana ramai kawannya yang tahu.

4. Bagai tikus membaiki labu
Membaiki sesuatu yang tidak tahu mengenainya, akibatnya semakin rosak pula
Contoh ayat: “Usahlah engkau membaiki keretaku ini, nanti bagai tikus membaiki labu pula,” kata Rafi kepada Lim San.

5. Seperti anak ayam kehilangan ibu
a) Orang yang kehilangan tempat bergantung
b) Sesuatu kaum yang berpecah-belah akibat kehilangan pemimpin
Contoh ayat: Keadaan di Palestin menyebabkan ramai anak-anak kehilangan keluarga mereka. Inilah dikatakan seperti anak ayam kehilangan ibu.

6. Seperti kuda lepas dari pingitan
Sangat gembira kerana bebas daripada kongkongan
Contoh ayat: Keluar sahaja daripada rumah, Jimmy sangat gembira seperti kuda lepas dari pingitan.

7. Seperti Si Kudung mendapat cincin
Dapat benda baik tetapi tidak dapat menggunakannya
Contoh ayat: “Sudah ku katakan tadi, jangan beli barang itu daripada kedai tadi. Sekarang, seperti Si kudung mendapat cincin pula,” keluh Kassim kepada isterinya Azimah.

Wednesday, April 17, 2013

Simpulan Bahasa: Tahun 11 (Menengah 5)

1) Angkat Bahu
Menunjukkan isyarat tidak tahu
Contoh ayat: Lailatul hanya mengangkat bahu apabila ditanya soalan teka-teki oleh Mariam

2) Bangkai bernyawa
Orang yang tidak berguna
Contoh ayat: Penagih dadah itu hidup merempat seperti bangkai bernyawa

3) Bapa pergerakan
Orang yang pertama menjadi ketua sesuatu pergerakan atau pelapor
Contoh ayat: Haji Samad sudah lama menjadi bapa pergerakan dalam kegiatan bermucang-mucang di Kampung Bebatik.

4) Gelombang hidup
Cubaan hidup
Contoh ayat: Manusia tidak akan pernah lari daripada gelombang hidup.

5) Hisap darah
Memeras keuntungan yang terlalu banyak
Contoh ayat: Penjual itu menghisap darah pelanggan-pelanggannya.

6) Jinak-jinak merpati
Perempuan yang mudah didekati tetapi sukar dipikat
Contoh ayat: Gadis berambut panjang itu sukar dipikat kerana dia jinak-jinak merpati.

7) Makan tidur
Tidak membuat sebarang pekerjaan
Contoh ayat: Harun hanya makan tidur sahaja jika tidak bekerja

8) Modal asing
Modal dari luar negeri
Contoh ayat: Kejayaan Dato’ Hazami pada masa ini diperolehi daripada hasil pelaburan modal asingnya daripada Australia.

9) Potong jalan
Merampas peluang orang lain; mendahului orang lain
Contoh ayat: “Engkau ni asyik potong jalan aku”, kata Hamid kepada Abu ketika sedang berbaris di luar bilik air.

10) Tahan hati
Sabar; tabah
Contoh ayat: Sudah sekian lama Babu Hjh Saadiah tahan hati dengan dugaan yang menimpa anaknya yang sakit itu.

11) Termakan budi
Menanggung pemberian orang.
Contoh ayat: "Jangan selalu termakan budi orang, nanti susah hendak membalas jasa mereka," kata Emak pada anaknya Syamie.